Dua mahasiswa UTM terpilih ikuti program YEP Siri 1/2018

JOHOR BAHRU, 16 Januari 2018 – Dua orang mahasiswa Pra-Siswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya terpilih bagi mengikuti Program Pengukuhan Ekosistem Keusahawanan ‘Youth E-Commerce Programme’ (YEP) Siri 1/2018 yang akan berlangsung di Hangzhou, China.

Muhammad Luqman Wafiy

Mahasiswa tersebut adalah Nur Azmina Ramli, 25, pelajar tahun tiga Fakulti Pendidikan dan juga Muhammad Luqman Wafiy Abdul Muiz, 20, pelajar tahun pertama Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Nur Azmina

Penyelaras YEP bagi UTM, Mohamed Nabil Mahamad berkata program YEP ini adalah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dengan kerjasama AliBaba Group, syarikat perniagaan digital dari China.

“Program ini merupakan program pengukuhan ekosistem keusahawanan dalam kalangan pelajar usahawan di Institusi Pendidikan Tinggi.

“Program ini mengandungi teori dan praktikal yang komprehensif mengenai dunia perniagaan e-dagang (e-commerce) sebenar melalui pembelajaran melalui pengalaman (experimental learning) di mana peserta akan didedahkan kepada ekosistem serta rangkaian pasaran di China,” katanya.

Antara syarat utama penyertaan ke program ini adalah pelajar haruslah berstatus warganegara Malaysia serta memiliki perniagaan sendiri yang telah didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Calon mesti berstatus pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa di peringkat Pra-Siswazah (Diploma atau Ijazah Sarjana Muda)  dan berumur  di bawah 30 tahun.

“Keutamaan akan diberikan kepada calon yang telah mengikuti program-program keusahawanan anjuran KPT sepanjang tahun 2017 seperti Siswapreneur Showcase, Pertandingan Usahawan Inovasi Piala Menteri Pendidikan Tinggi dan KPT-TERAJU Superb Higher Education League dan sebagainya,” katanya.

Calon yang terpilih akan mengikuti program ini secara sepenuh masa bagi tempoh dua minggu dan akan menjalani aktiviti seperti menghadiri pelbagai slot kursus yang telah disusun oleh penganjur dan juga lawatan ke beberapa tempat menarik di negara tembok besar itu.

“Para peserta juga akan dibawa melawat ke Muzium AliBaba, Dream Town, Yunqi, Shanghai, Kolej Industri dan Komersil Yiwu, Cainiao Logistics dan Jing Yi Jing Yi Industrial Park.

“Selain lawatan, para peserta juga dikehendaki untuk melakukan persembahan bertajuk ‘Business Presentation’ di akhir kursus,” katanya.

Program YEP ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh KPT dan dibuat selaras dengan inisiatif ke-2 Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016-2020 yang memfokuskan kepada penambahbaikan ekosistem keusahawanan bagi menyokong aktiviti keusahawanan pelajar.

Seramai 30 orang pelajar daripada Universiti Awam (UA) dan juga IPT seluruh negara telah dipilih bagi mengikuti program ini.