Sekumpulan pelajar Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, UTM telah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Reka Bentuk Medan PMINT dengan berkonsepkan “Medan Ekspresi Rakyat” yang telah diadakan pada 6 Mei 2015 anjuran Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Kumpulan pelajar tersebut terdiri daripada lima (5) orang iaitu Muhamad Redzuan, Safwan Shaari, Azalia Abdul Yusof, Efariza Abdul Hamid dan Farah Nurizzati Mohd Zaki.  Pertandingan yang turut disertai oleh beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia bertujuan untuk mengumpulkan idea satu reka bentuk medan bandar yang berkualiti, responsif terhadap pengguna, inovatif serta mampan dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kumpulan pelajar tersebut telah dianugerahkan sijil serta cek bernilai RM7,500.00. Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada 8 Disember 2015 di lobi bangunan Paya Bunga Square, Kuala Terengganu sempena Majlis Perasmian Pameran 30 Tahun PMINT. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Osman bin Muda, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.