HM160716-PerkasaBIM

Kuala Lumpur : Industri pembinaan sering dikaitkan dengan masalah kos, masa dan kualiti termasuk pelbagai permasalahan serta tadbir urus yang kadang kala merumitkan.

Namun, disebalik masalah ini, Sistem Informasi Permodelan Bangunan (BIM), dilihat antara penyelesaian terbaik bagi mengatasi pelbagai masalah yang sering dihadapi industri pembinaan konvensional.

Malah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut aktif melaksanakan inisiatif bersepadu sebagai agenda dalam memperkukuh industri pembinaan negara dengan memperkenalkan BIM.

Pensyarah Kanan Jabatan Ukur Bahan Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kherun Nita Ali berkata, jika dilihat dari segi kesedaran mengenai kebaikan yang boleh diberikan BIM kepada industri pembinaan, BIM mempunyai prospek yang sangat baik.

Bagaimanapun, ia perlu disusuli dengan pemahaman yang tinggi mengenai apakah yang dikatakan dengan projek berasaskan BIM supaya setiap faedahnya dapat dinikmati dalam industri pembinaan.

“Di Fakulti Alam Bina, UTM, kemudahan makmal komputer dipertingkatkan sejak 2015, bagi memperkasakan pembelajaran BIM di institusi pengajian tinggi. Ini selari dengan perkembangan BIM dalam industri dan juga kehendak daripada badan profesional berkaitan.

“Peruntukan belanjawan untuk tujuan itu bukan sahaja diterima daripada kerajaan tetapi juga alumni Jabatan Ukur Bahan yang bersama-sama memandang serius akan kepentingan kemudahan ini untuk pelajar,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, penubuhan BIM Research Group (BIMrg) yang diluluskan universiti pada 2015 pula adalah inisiatif untuk kakitangan menumpukan kerja penyelidikan dan penulisan berkaitan BIM.

Kherun berkata, ini menjadi simbiosis kepada proses pembelajaran dan pengajaran BIM apabila pelajar akan mendapat manfaat secara tidak langsung daripada kajian pensyarah mereka.

Beliau berkata, selain itu, graduan yang memiliki kemahiran BIM sangat dikehendaki majikan dan perkembangan BIM dalam kalangan industri yang sangat memberangsangkan mengubah industri ke atas teknologi ini.

“Terlalu banyak pihak yang mendakwa mereka pakar BIM dan cuba mengambil kesempatan terhadap permintaan tinggi di institusi pengajian tinggi. Kita perlu berhati-hati dalam memilih pakar yang tulen dan sesuai agar pelaburan BIM tidak disia-siakan,” katanya.

Sementara itu, University of Reading Malaysia (UoRM), menerusi Pusat Pengajian Alam Binanya komited dengan kurikulum dan pendekatan yang diambil supaya dapat melahirkan graduan yang cekap dalam bidang Alam Bina yang dikenali sebagai ‘BIM Ready’.

Ketua Pusat Pengajian Alam Bina UoRM, Dr Mohd Faris Khamidi berkata, UoRM menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan sejak September 2015 dan mata pelajaran yang membabitkan Informasi Permodelan Bangunan (BIM) diajar seawal semester pertama lagi.

Katanya, prospek BIM di Malaysia sebenarnya sangat baik dan akan berkembang positif, namun antara isu yang sering dibangkitkan oleh pemain industri adalah untuk mendapatkan graduan yang berkemahiran dalam BIM.

“Permintaan terhadap graduan ‘BIM Ready’ sebenarnya sangat tinggi dan buat masa ini, permintaan itu datang daripada syarikat besar dan saya yakin dalam masa tiga hingga lima tahun dari sekarang, syarikat dalam pembinaan akan mula melihat BIM dengan lebih serius.

“Sebab itulah, UoRM kini berada di Malaysia dan memeriahkan lagi landskap pengajian tinggi dengan menawarkan kursus yang relevan dengan BIM atas platform pembinaan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, UoRM bertindak sebagai platform baharu di Malaysia yang memfokus mengenai hala tuju BIM terutama dalam memperkukuhkan tenaga pengajar, fasiliti serta peralatan dan perkakasan yang pro-BIM.

 

Sumber: Harian Metro (Sabtu, 16 Julai 2016)