Pada 2 Mac 2017, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru telah menerima lawatan YBhg. Dato’ TPr. Dr. Dolbani Bin Mijan, Ketua Pengarah PLANMalaysia (PLANMalaysia adalah penjenamaan bagi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia). Beliau juga  merupakan Profesor Adjung, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) dan Alumni UTM. Terdapat 3 acara utama sepanjang lawatan beliau pada hari tersebut. Dari jam 9 pagi hingga 11 pagi, beliau telah melawat studio Tahun 2 Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (SBEP) bagi mendengar pembentangan pelajar mengenai projek Rancangan Tempatan Daerah Mersing-Penggantian  yang sedang dijalankan, diikuti dengan sesi soal-jawab dan maklumbalas.  

Acara seterusnya adalah seminar bulanan bertajuk “Secebis Kisah Segenggam Pengalaman” yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ketua Pengarah di Dewan Konvensyen, Fakulti Alam Bina UTM (FAB UTM) dari jam 11 pagi sehingga 1 petang.  Seramai 100 orang peserta terdiri daripada pelajar pra-siswazah telah hadir dan turut serta mendengar perkongsian pengalaman YBhg. Dato Ketua Pengarah.

Perkongsian pengalaman daripada YBhg Dato’ Dolbani

Antara perkara-perkara yang disentuh oleh beliau adalah fungsi PLANMalaysia,  cabaran jururancang bandar dalam memenuhi kehendak ekonomi dan pematuhan terhadap peruntukan akta, rancangan pembangunan dan garis panduan pembangunan sedia ada serta perkembangan terbaru dalam amalan perancangan bandar di Malaysia.   YBhg. Dato’ Ketua Pengarah juga telah menghadiri mesyuarat bersama kumpulan penyelidikan Rural Research & Planning Group (RRPG) di FAB pada sebelah petang. Prof. Dr. Ibrahim Ngah selaku Ketua kumpulan penyelidik turut membentangkan perancangan RRPG pada masa hadapan dan meneroka peluang-peluang kerjasama antara pihak UTM dan PLANMalaysia khususnya dalam mentransformasikan kawasan luar bandar di negara ini. Program lawatan YBhg. Dato’ Ketua Pengarah berakhir pada jam 4 petang.