JOHOR BAHRU, 3 Julai 2017 – Seramai lima staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada di Kemboja selama tiga hari mulai 19 Jun lalu bagi mempromosikan pendekatan Service  Learning dalam gagasan Akademia Baru dan libatsama dalam jaringan projek komuniti di negara berkenaan.

Mereka terdiri daripada Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina (FAB) Dr Mohd Hisyan Rasidi, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan (FP) Shahrin Hashim, Pensyarah Kanan Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT), Dr Robiah Suratman, Pegawai Penyelidik FTGHT, Nordaliza Zulkifli dan Pegawai Eksekutif, Pusat Kursus Kokurikukulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) Romli Othman.

Penyelaras Program, Shahrin Hashim berkata, semasa berada di sana mereka turut meninjau peluang bagi mencari rakan kolaborasi dan strategik yang baru dalam mengumpul dana untuk program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

Beliau berkata, menerusi kerjasama Duta Besar Malaysia di Kemboja, Dato Sri Hasan Malek pihaknya mengadakan perbincangan dengan wakil dari lima buah bank Malaysia yang beroperasi di sana.

“Pertemuan itu diatur oleh pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja membolehkan UTM memberi penerangan mengenai perkembangan terkini program USR di Kampung Khleangsbek.

“Taklimat itu bertujuan mendapatkan dana bagi membiayai fasa seterusnya  Projek Pelestarian Komuniti Lestari Berimpak Tinggi yang telah dilaksanakan di kampung berkenaan sejak 2013,” katanya.

Shahrin berkata, pada pertemuan yang diadakan di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Dr. Yusof turut mempromosikan Dana Endowmen antarabangsa kepada wakil bank.

Beliau berkata, pihaknya berkesempatan menyampaikan sumbangan barangan untuk keperluan hari raya dan tunai bernilai lebih RM30,000 yang diberikan oleh penderma dari Malaysia menerusi aktiviti ziarah Ramadhan di beberapa buah Kampung Muslim di Wilayah Kampung Chnang, Kampung Kandal dan Phnom Penh.

Source: 5 staf UTM ke Kemboja promosi Service Learning | Hub Berita